fbpx

Rindu berkasut tumit tinggi, ‘bergaya’ ke pejabat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

JAM sudah menunjukkan pukul 11 malam, penulis menerima pesanan ringkas daripada seorang pegawai komunikasi korporat sebuah syarikat konglomerat bertanyakan mengenai sesi sidang akhbar syarikat yang akan diadakan pada keesokan harinya.

Kami berbual sebentar bertanya khabar dan penulis melahirkan rasa simpati terhadapnya kerana dia masih lagi mengadap komputer riba sehingga lewat malam untuk menyiapkan tugasan harian.

Menurut beliau, sejak bekerja dari rumah awal tahun ini, kerjanya semakin banyak berbanding ketika bekerja di pejabat sebelum ini, kadang-kadang berterusan sehingga lewat malam dan bersambung pada awal paginya.

Meskipun sedikit tertekan dengan perubahan norma baharu itu tetapi dia bersyukur dapat menemani ibunya setiap masa dan sebagai balasan, ibunya rajin memasak untuk membolehkan anak bongsunya itu ceria dan berasa selesa di rumah.

“Berat badan pun sudah naik berkilogram, tetapi ibu saya sangat suka kerana kami dapat makan bersama dan berbual jika saya tidak sibuk,” katanya.

Seorang lagi rakan yang hampir setahun tidak masuk ke pejabat pula berkata, dia berasa lebih produktif dan kreatif ketika menyiapkan tugasan di rumah berbanding kekangan yang ada ketika di pejabat sebelum ini.

Katanya, sistem komputer yang dibekalkan oleh majikan kepada semua kakitangan sangat canggih seperti beroperasi di pejabat dan ini bermakna tiada alasan untuk seseorang pekerja itu ponteng kerja atau malas dalam tanggungjawab yang diamanahkan.

Dia cuma merungut sebab tidak dapat memakai kasut tumit tinggi dan terpaksa menyimpan beg tangan premium berjenama popular kerana tidak dapat keluar ‘bergaya’ ke pejabat lagi.

Masa terluangnya kini digunakan untuk membeli tudung yang cantik secara online untuk dipakai ketika menghadiri mesyuarat secara maya sekali sehari.

Sebenarnya, wanita sangat cekap dalam menguruskan masa bagi memenuhi tugas yang diamanahkan di rumah, malah lebih kreatif, berdisiplin dan bersemangat tetapi sokongan yang baik daripada keluarga khususnya suami amat diperlukan.

Pengalaman penulis menyiapkan tugasan di rumah menunjukkan bahawa tiada kekangan untuk seseorang menjadi produktif seperti berada di pejabat, cuma perlu lebih berdisiplin menguruskan masa dan mengutamakan mana yang lebih penting patut didahulukan.

Jangan jadikan alasan tiada ruang kerja yang selesa, rangkaian internet yang lemah, anak kecil yang perlukan lebih perhatian, terpaksa memasak, membasuh dan mengemas rumah sehingga mengekang tahap produktiviti sekali gus menyebabkan tekanan serta murung.

Jika ada kemahuan, di situ ada jalan dan jika sentiasa memohon doa pada-Nya, pasti ada jalan untuk kita menghadapi masalah tersebut dan apabila isu itu berjaya dihadapi, anda adalah superwomen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI