KUALA TERENGGANU – Pejabat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di seluruh negara menerima kunjungan hampir 32,000 pelanggan sepanjang tempoh 59 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu.
Pengurus Besar Bahagian Operasi AKPK, Nor Fazleen Zakaria berkata, rata-rata pelanggan terbabit memerlukan perkhidmatan nasihat dan pengurusan kewangan serta hutang akibat terjejas dengan pandemik Covid-19.
Beliau berkata, ia menunjukkan peningkatan ketara berbanding sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.
“Secara purata, AKPK menerima 800 pelanggan sehari di semua cawangan di seluruh negara sejak pembukaan pada 10 Jun lalu.
“Kebanyakan pelanggan itu mahu membuat penstrukturan semula pinjaman masing-masing dan 75 peratus daripadanya berusia 30 hingga 50 tahun,” katanya selepas menghadiri program BSN Myfirst, Duit For Baby di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu di sini hari ini.
Nor Fazleen berkata, seramai 1.083 juta individu direkod telah menghadiri sesi perkhidmatan kaunseling kewangan AKPK sejak ia ditubuhkan pada tahun 2006.
Beliau memberitahu, program Pengurusan Kredit AKPK pula telah disertai 322,495 orang setakat 30 Jun lalu,” katanya. – K! ONLINE