JOHOR BAHRU – Taktik licik sindiket penyeludupan dadah mengubah suai alat pemadam api untuk menyeludup pelbagai jenis dadah bernilai RM215,283.20 terbongkar selepas sembilan individu diberkas dalam sembilan serbuan di sekitar bandar raya ini semalam.
Dalam serbuan bermula pukul 1.30 tengah hari itu, individu yang diberkas terdiri daripada tujuh lelaki tempatan dan masing-masing seorang wanita tempatan dan lelaki Indonesia berusia antara 26 hingga 40 tahun.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kejayaan operasi membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan itu hasil perkongsian maklumat risikan Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura.
“Hasil perkongsian maklumat risikan CNB, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor melancarkan operasi khas ke atas sindiket pengedaran dadah.
“Hasil sembilan serbuan itu, seramai sembilan suspek ditahan bersama pelbagai jenis dadah antaranya 7.12 kilogram (kg) ganja, syabu seberat 4.53 kg serta heroin 3.11 kg dan jumlah keseluruhan rampasan dadah bernilai RM215,283.20,”katanya dalam satu kenyataan di sini.
Ayob Khan berkata, selain rampasan dadah polis turut menyita lapan buah kenderaan, wang tunai serta barang kemas berjumlah RM184,893.
Ujarnya, sindiket menggunakan modus operandi dengan menyeludup dadah ke negara jiran Singapura dengan memasukan dadah ke dalam alat pemadam api yang diubah suai sebelum dibawa menggunakan lori ais.
Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati sindiket ini aktif melakukan penyeludupan sejak tiga bulan lalu.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine selain tiga daripada mereka memiliki rekod jenayah berkaitan dadah dan jenayah.
Ayob Khan berkata, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 6 Jun depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Sekysen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.-K! ONLINE.