PARIS – Pemain No. 12 dunia, Victoria Azarenka terpaksa bermandi peluh untuk menewaskan pemain veteran, Svetlana Kuznetsova pada aksi pusingan pertama kejohanan Grand Slam Terbuka Perancis pada saingan di Roland Garros awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, Azarenka memerlukan tempoh hampir dua jam untuk menyingkirkan Kuznetsova yang juga juara Terbuka Perancis edisi 2009 sebelum melakar kemenangan 6-4, 2-6, 6-3.
Kata Azarenka, pertemuan bertemu pemain Rusia berusia 36 tahun itu sentiasa memberikan cabaran tersendiri memandangkan pengalaman luas yang dimilikinya dalam arena tenis antarabangsa khususnya di gelanggang tanah liat.
“Apabila diundi bersaing dengan Kuznetsova saya sudah jangka cabaran yang bakal diberikan sangat sengit kerana dia merupakan pemain yang tidak pernah memberi laluan mudah dengan fokus seratus peratus di atas gelanggang.
“Saya tahu kekuatan yang dimilikinya adalah daripada aspek fizikal meskipun sudah berusia dan ia terbukti lagi pada pertemuan kali ini. Mujur saya sudah buat persiapan mental dan fizikal selain bijak mengawal emosi terutama apabila tewas pada set kedua.
“Kini, saya hanya perlu kekal positif dan terus berusaha keras untuk melangkah jauh selepas gagal mempamerkan aksi konsisten sepanjang siri jelajah tenis antarabangsa musim ini,” kata pemain kelahiran Belarus berusia 32 tahun itu.
Bekas pemain No. 1 dunia yang pernah menjuarai gelaran Grand Slam sebanyak dua kali dalam kariernya dijadualkan bertemu dengan pemain No. 90 dunia, Clara Tauson di pusingan kedua yang bakal berlangsung hari ini. – AGENSI