KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memeriksa setiap dokumen yang dikemukakan orang awam secara teliti di sekatan jalan raya (SJR) meskipun berlaku kesesakan teruk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dikuatkuasakan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis yang bertugas di SJR akan memeriksa dengan lebih teliti dokumen-dokumen yang dikemukakan dan juga janji temu-janji temu yang akan dihadiri oleh orang ramai.
“Kita tidak nafikan akan berlaku kesesakan di SJR dan di lokasi-lokasi tertentu. Ini tidak dapat dielakkan.
“Justeru itu, saya harap orang ramai yang tidak ada keperluan mendesak untuk bergerak, sebaik-baiknya tangguhkan dahulu pergerakan, sebaliknya beri peluang kepada mereka yang perlu bergerak atas sebab khidmat yang perlu dilaksanakan,” ujarnya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Berkenaan penjawat awam, jelasnya, pihak polis akan meminta mereka mengemukakan dokumen daripada Ketua Jabatan yang mengarahkan mereka bertugas di pejabat.
“Seperti yang dijelaskan oleh kerajaan sebelum ini bahawa hanya 20 peratus daripada kakitangan awam yang dibenarkan bekerja di pejabat manakala selebihnya diarahkan bertugas dari rumah.
“Jika sebelum ini penjawat awam hanya menunjukkan pas kerja, namun kali ini mereka harus menunjukkan dokumen arahan dari Ketua Jabatan mereka.
“Bagi kakitangan swasta dan mereka yang terbabit dalam sektor perkhidmatan penting, pihak polis di lapangan dan SJR akan meminta mereka menunjukkan dokumen yang berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” ujarnya.
Menurut beliau, dokumen yang berdaftar dengan MITI ini seharusnya mempunyai satu tarikh yang mula berkuatkuasa esok dan sebarang dokumen kebenaran yang dikeluarkan sebelum tarikh itu adalah tidak sah.-K!ONLINE