fbpx

Seminggu “buat kerja”, remaja diberkas pecah rumah, kedai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kelibat suspek berjaya dirakam dalam televisyen litar tertutup (CCTV) salah sebuah premis yang dipecah masuknya sejak 26 Mei lalu hingga awal pagi tadi di sekitar Bahau dan Batu Kikir.

JEMPOL – Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah dan kedai di sekitar Bahau dan Batu Kikir sejak 26 Mei lalu berjaya ditangkap awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, suspek yang sudah tamat bersekolah itu ditangkap di hadapan premis Pusat Perniagaan Kiara Sqauare, di sini, kira-kira pukul 2 pagi tadi.

Menurutnya, dalam tempoh berkenaan, terdapat 11 kes pecah rumah dan kedai di sekitar kawasan tersebut dengan nilai anggaran kerugian sebanyak RM28,000.

“Suspek berjaya ditangkap hasil rondaan, intipan dan siasatan yang dijalankan oleh pihak polis. Suspek mengaku melakukan empat daripada 11 kes pecah rumah dan kedai berkenaan.

“Malah, berdasarkan siasatan awal, suspek turut mengaku menggunakan sebatang besi kuku kambing dan sebatang pemutar skru panjang untuk memecah masuk ke dalam rumah dan kedai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, tadi.

Chang Hook berkata, suspek sebelum ini bekerja di sebuah kedai aksesori kenderaan, namun disebabkan tidak suka dimarahi majikan, suspek berhenti kerja.

Menurutnya, suspek kemudiannya mula membuat pilihan untuk terbabit dalam aktiviti menyalahi undang-undang dengan memecah rumah dan kedai.

“Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya merampas beberapa barang kes iaitu satu beg sandang berwarna hitam, sebatang besi kuku kambing, satu pemutar skru panjang, serangkai kunci motosikal, sebuah motosikal jenis Honda Ex5 berwarna hitam, satu beg pinggang jenis Gregory dan wang tunai berjumlah RM308.

“Selain itu, sebuah telefon bimbit jenis R9s, sebuah permainan dron bersama alat kawalan jauh, sebuah kamera digital jenis Canon Eos550d, sebuah laptop jenis Acer dan sebuah kamera jenis FullHd jenama Benq 1080p turut dirampas.

Menurutnya, polis turut menemui dan merampas barang kes berupa, seutas jam tangan jenama Alain Delon, dua utas rantai, seutas gelang, tiga bentuk cincin, sehelai baju melayu berwarna biru, sebuah beg laptop tidak berjenama, sebuah beg kamera jenama Canon dan sepasang rim motosikal berwarna merah.

“Suspek yang kini disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga 3 Jun.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI