PETALING JAYA – Sebanyak 11 rumah panjang dan Sekolah Kebangsaan Stalon di Daerah Tanjung Manis, Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa 2 Jun hingga 15 Jun ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dalam tempoh seminggu di lokaliti tersebut melibatkan 21 kes positif direkodkan daripada 97 ujian saringan yang dijalankan.
“PKPD turut dikenakan dalam tempoh yang sama di Kampung Kuala Menggatal, Kota Kinabalu; Jalan Klias 2 serta Jalan Klias 3 di Kampung Klias Baru, Beaufort di Sabah.
“Sebanyak 30 kes yang direkodkan di semua lokaliti tersebut melibatkan 382 saringan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Beliau turut mengumumkan PKPD di Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Jerantut dalam tempoh yang sama memandangkan kawasan itu mencatatkan 10 kes positif daripada 76 ujian saringan dengan kadar positiviti 13.2 peratus.
“Arahan PKPD turut dikeluarkan di Felda Trolak Utara, Mukim Sungkai, Daerah Batang Padang, Perak yang menunjukkan kenaikan kes ketara dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.
“ KKM telah menjalankan 123 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 16 kes positif telah direkodkan manakala 46 sampel saringan masih menunggu keputusan,” jelasnya.
Tambah Ismail, PKPD melibatkan 28 Mukim di Kota Setar, Kedah yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan sehingga 15 Jun ini kerana masih terdapat penularan jangkitan berterusan dalam kalangan penduduk.
Katanya, sepanjang tempoh itu, KKM telah melakukan 5,631 ujian saringan dan 1,367 daripadanya disahkan positif Covid-19.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan PKPD di dua lokaliti di Kelantan iaitu Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu, Kota Bharu dan Kampung Pauh Lima, Mukim Gunong, Bachok yang sepatutnya ditamatkan esok berakhir sehari lebih awal hari ini.
“Kedua-dua lokaliti itu masing-masing merekodkan 131 kes dan 47 kes positif Covid-19 daripada sejumlah 1,355 ujian saringan yang dijalankan.
Sehingga kini, KKM mengesahkan tiada lagi sampel menunggu keputusan dan tiada kes baru direkodkan di kedua-dua lokaliti tersebut sejak 29 Mei lalu,” katanya. – K! ONLINE