PETALING JAYA – Penyanyi, Datuk Fazley Yaakob tidak mahu melenting bahkan mengambil pendekatan tidak terasa hati dengan kritikan seorang pensohor media kulinari yang mengkritik kek batik buatannya dengan menggunakan bahasa kurang sopan.
Fazley yang juga cef selebriti sebaliknya hanya bersangka baik dan beranggapan teguran individu bernama Fazley Jalal itu bertujuan memperbaiki kualiti masakannya.
“Sebenarnya saya antara pengikutnya dalam Instagramnya kerana bagi saya, seperti Khairul Aming, dia juga antara individu dalam dunia masakan yang saya hormati serta nampak kebolehannya.
“Apabila resipi saya ‘dinaikkan’ dalam Twitter olehnya, saya cuma melihat situasi itu dari sudut positif, sekali gus merasakan kritikan berkenaan lebih ke arah strategi promosi.
“Lagipun paparan tangkap layar gambar kek batik dan komen itu cuma dikongsikannya tanpa sebarang pernyataan, jadi saya lebih selesa untuk bersangka baik daripada fikir bukan-bukan.
“Saya sendiri pun bukan jenis suka berbalah apatah lagi dengan individu yang berada dalam industri sama. Terpulang kalau sesiapa mahu berikan kritikan mereka. Masing-masing ada selera dan cara sendiri,” katanya kepada Kosmo! Online.
Bapa kepada empat orang cahaya mata itu mengulas perkongsian tangkap layar gambar kek batik berserta komen kurang sopan oleh seorang individu bernama Fazley Jalal.
Terdahulu, komen dan gambar tersebut tular, bahkan pelantun lagu Cerita Asmara itu turut menerima kiriman tangkap layar siapan oleh daripada beberapa pengikut dan rakan-rakannya.
Akui Fazley, rata-rata mesej diterima menganggap perbuatan individu itu sebagai terlampau biadap apabila menyertakan paparan ayat kurang manis sekali pun, penulisan berkenaan ditulis pihak lain.
“Walau apa pun tujuannya, saya harap orang ramai jangan terus menghukum. Biarlah, mungkin itu cara dia bergurau dengan kawan-kawan.
“Dalam situasi semasa yang serba mencabar ini, saya lebih suka sebarkan perkara positif. Tak perlu bergaduh untuk benda yang tak sepatutnya.
“Paling penting, saya percaya dalam rezeki tukang masak ada rezeki orang lain. Prinsip saya mudah, tak suka tak apa. Saya sendiri takkan kongsi sesuatu yang boleh lukakan perasaan orang lain,” ulasnya lagi. – K! ONLINE