ARAU – Kesesakan luar biasa di Lebuh Raya Changlun-Kuala Perlis memasuki negeri ini pagi tadi sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk adalah berikutan pemeriksaan lebih ketat di sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri tersebut.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, kesesakan kira-kira pukul 7 pagi hingga 8.30 pagi itu melibatkan pengguna jalan raya yang masuk ke negeri ini setiap hari untuk tujuan kerja.
“Ini semua pemandangan biasa iaitu mereka yang masuk untuk tujuan kerja, cuma pemeriksaan yang lebih ketat menyebabkan berlaku kesesakan di lebuh raya berkenaan.
“Bezanya, hari ini ramai yang ambil gambar atau video disebabkan esok sudah bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada pagi ini tular di laman sosial gambar dan video kesesakan luar biasa di Lebuh Raya Changlun-Kuala Perlis menghala masuk ke Perlis.
Situasi itu mencetuskan rasa panik dalam kalangan rakyat negeri ini yang bimbang sekiranya ramai yang cuba merentas negeri untuk balik kampung sebelum pelaksanaan PKP penuh, esok. – K! ONLINE