fbpx

Pengecualian permohonan lesen LPG di Sarawak mulai esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju memberi pengecualian kepada pengedar-pengedar gas petroleum cecair (LPG) di Sarawak daripada memohon kebenaran dan lesen bagi pengedaran LPG di negeri itu mulai esok.

Keputusan itu dicapai pada 13 April lalu dalam mesyuarat Majlis Khas Bagi Menyemak Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dihadiri Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor dan menteri persekutuan lain.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan memutuskan supaya pengecualian daripada memperoleh kebenaran Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) dan lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (CSA) diberikan kepada pemegang lesen Distribution of Gas Ordinance (DGO) di Sarawak.

“Mesyuarat bersetuju supaya pengecualian diberikan kepada pemegang-pemegang lesen DGO yang dikeluarkan oleh kerajaan Sarawak daripada keperluan mendapatkan kebenaran PDA dan lesen CSA.

“Pada masa ini, kawal selia bagi kedua-dua kebenaran dan lesen tersebut terletak di bawah KPDNHEP,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Beliau berkata, ia selaras dengan persefahaman supaya Sarawak mengawal selia sendiri tadbir urus industri hiliran gas serta untuk meningkatkan aspek memudah cara dalam perniagaan.

“Menerusi pengecualian ini, pemborong dan peruncit LPG di Sarawak hanya memerlukan lesen DGO sahaja daripada Kementerian Utiliti Sarawak dan tidak lagi perlu memohon kebenaran PDA dan lesen CSA daripada KPDNHEP.

“Pelaksanaan pengecualian ini diharapkan akan meningkatkan keberkesanan operasi dan aktiviti pengedaran LPG di Sarawak,” katanya.

Tambah Alexander, kementerian sentiasa komited dan sedia bekerjasama dengan kerajaan Sarawak dan Sabah dalam usaha merancakkan aktiviti perdagangan domestik bagi meningkatkan ekonomi Sabah dan Sarawak khususnya serta Malaysia secara amnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI