SUNGAI PETANI – Tiga jururawat sebuah hospital swasta di sini masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tiga jururawat berusia 34, 42 dan 45 tahun itu didapati menyampaikan sumbangan kepada rakan mereka yang sedang menjalani kuarantin di sebuah rumah di Kampung Pulau Tengah di sini kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.
Katanya, gambar tiga wanita yang menyampaikan sumbangan itu kemudian dimuat naik ke Facebook dan tular.
“Polis kemudian mengesan penama Facebook terbabit pada pukul 9.10 malam semalam dan dia mengaku melakukan kesalahan tersebut bersama dua lagi rakannya sebelum hadir di balai polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Adzli, hasil soal siasat berpandukan gambar yang tular berkenaan didapati ketiga-tiga jururawat terbabit tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP dan dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 seorang. – K! ONLINE