PETALING JAYA – Seorang pemandu van maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang terbabas dan memasuki laluan bertentangan di Jalan Persiaran Bandar Baru Bangi dari arah Kajang Utama menghala ke arah Sungai Ramal dekat sini hari ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 9.35 pagi itu, pemandu yang berusia 30-an mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd. Sabri Abdullah berkata, laporan kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan itu diterima pada pukul 9.36.
“Siasatan mendapati Mitsubishi Triton itu dari arah Kajang Utama menghala ke Sungai Ramal disyaki gagal dikawal lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh van yang dinaiki mangsa.
“Pada masa sama, sebuah kereta jenis Toyota Vios yang datang dari arah belakang van tidak sempat berhenti lalu melanggar van tersebut,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, impak rempuhan yang kuat daripada Mitsubishi Triton terhadap van menyebabkan pemandunya parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
“Pemandu Mitsubishi Triton juga mengalami kecederaan parah dan dia dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Serdang untuk rawatan lanjut, manakala pemandu kereta Toyota Vios tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan awal polis mendapati kemalangan tersebut berpunca daripada Mitsubishi Triton yang gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas dan memasuki laluan bertentangan lalu melanggar van,” ujarnya.
Katanya, bedah siasat telah dipohon ke atas mayat mangsa bagi mengesahkan punca kematian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.