KUALA LUMPUR – Badan kehakiman mengumumkan operasi mahkamah di seluruh negara bagi prosiding tertentu tidak terjejas ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan menyeluruh fasa pertama berkuat kuasa esok.
Pengendalian kes yang memerlukan kehadiran secara fizikal di mahkamah iaitu pertuduhan baharu, permohonan perintah reman dan permohonan perintah jenayah, berjalan seperti biasa.
Bagi permohonan jenayah di mahkamah atasan (Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan) yang memerlukan kehadiran secara fizikal, tertakluk kepada budi bicara mahkamah
atas sebab-sebab khas dan keadaan tertentu.
Arahan itu dikeluarkan melalui kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman Putrajaya ekoran pengumuman Pejabat Perdana Menteri, Sabtu lalu.
Tatacara pengendalian kes itu atas arahan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Arahan tersebut bagaimanapun menetapkan semua perbicaraan dan pendengaran kes sivil dan jenayah secara kehadiran fizikal ke mahkamah ditangguhkan dan penetapan tarikh baharu akan dimaklumkan kemudian.
Antara kes berstatus kepentingan awam di Mahkamah Tinggi di sini termasuk perbicaraan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang dijadualkan membela diri selama sembilan hari bermula 9 Jun ini.
Mahkamah Sesyen di sini pula menetapkan 8 Jun ini bagi perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek
pembinaan jalan utama di negeri itu.
Pendengaran kes-kes sivil pula dijalankan melalui teknologi komunikasi jarak jauh manakala pengendalian prosiding melalui kaedah hibrid tidak terpakai. – K! ONLINE