fbpx

Penantian lebih dua dekad pembeli rumah berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin ( kanan) menyerahkan replika kunci rumah kepada salah seorang penerima hari ini.

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM – Penantian 203 pembeli Rumah Idaman Warisan, Puncak Alam selama 21 tahun berakhir selepas menerima kunci daripada kerajaan Selangor hari ini.

Usaha pemulihan projek yang terbengkalai sejak 1999 itu dilaksanakan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) selepas memeterai Perjanjian Pemulihan Projek Alam Perdana dengan Worldwide Holdings Berhad dan LBS Bina Group Berhad pada September 2016.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penyerahan kunci itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan rakyat menerima pulangan setimpal menerusi perkongsian strategik dan tadbir urus korporat yang cekap.

“Berdasarkan perjanjian pemulihan asal, rumah yang dikenali sebagai Taman Arcadia sebelum ini akan diserahkan tanpa perabot dan peralatan seperti projek perumahan lain.

“Namun, saya mengumumkan pemberian peralatan tambahan pada 2018 sebagai insentif kepada semua pemilik yang telah menunggu sekian lama untuk mendapatkan rumah mereka,” katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan kunci di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Rumah Idaman Warisan itu dilengkapi dengan peralatan tambahan seperti set televisyen, kabinet dapur, penghawa dingin dan pemanas air yang tiada dalam perjanjian asal.

Tambah Amirudin, proses membaik pulih projek itu mengambil masa lama kerana wujud pelbagai perkara teknikal dan undang-undang yang perlu dikaji semula selain terdapat beberapa pemilik asal tidak dapat dihubungi kerana telah berpindah atau meninggal dunia.

“Namun, hasil usaha dan kerjasama antara kerajaan dan swasta membawa kepada kejayaan projek itu yang disiapkan pada hujung tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penerima, Sharudin Ismail, 46, bersyukur pembelaan dilakukan oleh kerajaan negeri bagi memastikan ratusan pembeli dapat duduk di rumah yang diidamkan sebelum ini.

“Ini adalah hadiah paling istimewa bagi keluarga saya yang menunggu selama 21 tahun untuk memiliki kediaman sendiri.

“Semua pemilik asal terpaksa menanggung kerugian selama ini kerana pembayaran kepada bank tetap diteruskan bagi mengelak diisytihar muflis,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI