fbpx

Malaysia tunggu maklumat rasmi dari Arab Saudi 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Keputusan sama ada kerajaan akan meneruskan penghantaran jemaah haji tahun ini hanya akan ditentukan selepas Malaysia mendapat maklumat rasmi terkini daripada kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli al-Bakri berkata, pihaknya menjangkakan jawapan rasmi berhubung kebenaran menunaikan ibadah itu dapat diperoleh selewat-lewatnya pertengahan bulan depan.

“Setakat ini, kerajaan sedang menunggu jawapan secara rasmi daripada kerajaan Arab Saudi.

“Boleh jadi dalam masa terdekat, sebelum musim haji kita akan dapat, mungkin seminggu dua lagi. Itu sahaja maklumat yang ada buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi imam, bilal, siak, noja, marbut dan guru takmir di seluruh negara tahun 2021 dikenali SPS Lindung yang dilaksanakan secara maya hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed.

Mengulas mengenai SPS Lindung, Zulkifli berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Perkeso telah mengumpul dan mendaftarkan seramai 25,634 pegawai masjid di bawah kelolaan Jakim setakat 30 Mei lalu.

“Perkeso menawarkan pilihan caruman yang diinsuranskan sebanyak RM19.40 sebulan bersamaan RM232.80 setahun.

“Jakim turut memperuntukkan sebanyak RM6.9 juta setiap tahun sejak 2019 untuk caruman Perkeso kepada  35,000 orang guru KAFA yang disalurkan kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri (PBAN) selaku Agensi Pelaksana KAFA di negeri-negeri,” jelasnya.

Tambah Zulkifli, pada tahun ini, kerajaan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM5,967,595.20 setahun kepada Perkeso. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI