PETALING JAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) terus komited bagi memastikan bekalan makanan untuk seluruh masyarakat di negara ini kekal stabil ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) total lockdown fasa pertama bermula esok.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, persediaan akan dilaksanakan dalam memastikan sektor pertanian dan industri makanan tidak akan terjejas sepanjang pelaksanaan PKP total lockdown fasa pertama bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan makanan dan jaminan sekuriti makanan negara.
“MAFI amat komited untuk memastikan bekalan makanan di Malaysia kekal berada di tahap yang stabil, mencukupi dan terkawal selain akses yang sentiasa tersedia kepada orang ramai.
“Untuk makluman, MAFI menganggarkan keperluan sebanyak 100,000 tan metrik sehingga 150,000 tan metrik beras dalam tempoh 14 hari pelaksanaan total lockdown di mana jumlah ini termasuk sekiranya berlaku pembelian panik oleh orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, penanaman dan penuaian padi pada masa ini sedang berjalan di beberapa negeri seperti di Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Menurutnya lagi, stok semasa bekalan ikan negara masih stabil dengan sebanyak 185,000 tan metrik sebulan berbanding keperluan semasa sebanyak 155,000 tan metrik sebulan.
“Sebanyak 89 buah pasar nelayan dan 33 buah Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan (CCDC) masih beroperasi di seluruh negara manakala di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tertakluk kepada arahan pihak berkuasa tempatan dan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Untuk bulan Jun ini, bekalan daging lembu dan kerbau adalah dianggarkan sebanyak 22,590.58 tan metrik manakala bekalan daging ayam adalah sebanyak 125,067.61 tan metrik.
“Bekalan telur ayam untuk bulan Jun ini pula dianggarkan sebanyak 976,847,250 biji dan diikuti bekalan susu segar sebanyak 4,147,608.10 liter,” tambahnya.
MAFI menasihati orang ramai supaya tidak membuat pembelian panik dan menyimpan stok bahan makanan secara berlebihan yang boleh mengakibatkan ketidaksamarataan dari segi akses bekalan makanan kepada orang ramai. – K! ONLINE