SHAH ALAM – Kelicikan seorang warga Bangladesh mendalangi aktiviti penyeludupan rokok tidak bercukai sejak tiga tahun lalu berakhir apabila ditangkap di Taman Industri Spring Crest, Batu Caves dekat sini semalam.
Suspek berusia 38 tahun ditangkap pukul 1 tengah hari ketika dalam proses penghantaran barangan di sekitar Lembah Klang.
Turut ditahan pada waktu sama adalah pemandu teksi berusia 59 tahun yang bertindak sebagai ‘transporter’.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Rizal Mohamed berkata, hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua kenderaan dinaiki suspek menemui keseluruhan 465 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM115,248.20.
Katanya, turut dirampas adalah dua kenderaan dipandu suspek bersama wang tunai berjumlah RM17,950 dan telefon bimbit.
“Berdasarkan siasatan dalangnya iaitu warga Bangladesh itu telah menjalankan aktivitinya itu sejak tiga tahun lalu dan telah berada di negara ini sejak 10 tahun lalu.
“Hasil siasatan awal juga mendapati mempunyai rangkaian besar penyeludupan dengan mengedar rokok-rokok berkenaan ke kedai-kedai warga Bangladesh dan di pasar borong Selayang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Rizal menambah, pemandu teksi itu telah menjadi orang bawahan kepada lelaki warga Bangladesh sejak setahun lalu dengan mendapat upah RM50 bagi penghantaran rokok untuk satu hala.
Kata beliau, pihaknya percaya menerusi penangkapan itu berjaya memutuskan aktiviti pengedaran rokok di sekitar Lembah Klang.
“Tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967,” jelasnya. -K!ONLINE