SEJAK bersiaran pada 20 Jun lalu, drama romantik komedi Backstreet Rookie meraih perhatian luar biasa daripada peminat drama Korea dari seluruh dunia termasuklah Malaysia.
Drama arahan Lee Myoung-woo itu mengisahkan kehidupan seorang pengurus kedai serbaneka, Choi Dae-hyun lakonan Ji Chang-wook yang bertemu dengan seorang gadis seksi bernama Jung Saet-byul (Kim Yoo-jung) yang bekerja sambilan di kedainya.
Karya tersebut sebenarnya penampilan sulung Chang-wook sebaik selesai menjalani latihan khidmat ketenteraan pada 27 April tahun lalu.
Berbicara tentang penampilannya dalam naskhah adaptasi webtoon popular Korea Selatan tersebut, Chang-wook menyifatkan karakter komedi romantik yang dijayakan begitu menarik dan cukup selesa untuk dijayakan.
“Saya sangat selesa menjayakan drama komedi romantik dari segi fizikal dan stamina. Namun dari sudut emosi, sebenarnya naskhah sebegini lebih susah untuk dibawa berbanding aksi,” katanya.
Tidak mempunyai pengalaman menguruskan kedai serbaneka, Chang-wook membongkar alasan dirinya menerima tawaran berlakon dalam naskhah tersebut. Dia sebenarnya sangat tertarik dengan konsep penceritaan yang dipaparkan.
“Kisah yang berkisar di sebuah kedai serbaneka sebenarnya sangat menarik. Saya sukakan nilai kemesraan, kekeluargaan dan persahabatan yang wujud di tempat sebegitu.
“Hakikatnya saya tidak pernah bekerja di kedai sebegitu. Sebelum bergelar aktor, antara kerja yang saya pernah lakukan seperti menjadi pemandu lori penghantaran dan bekerja di kafe. Daripada semua kerja itu, saya banyak belajar bahawa tiada yang mudah dalam kehidupan ini,” katanya.
Menerusi Backstreet Rookie, pelakon berusia 32 tahun itu menampilkan karakter agak berbeza iaitu imej rambut yang serabai dan sedikit tidak terurus.
Tidak merasakan imej sebegitu menjanggalkan, Chang-wook sebaliknya mengakui perkara paling sukar dilakukan untuk drama tersebut ialah menjayakan babak menari.
“Menari memang susah tetapi sangat menyeronokkan. Sebenarnya saya agak malu (menari) tetapi apabila ada babak melibatkan saya dengan Yoo-jung, tarian jadi lebih senang sebab ada teman berbanding menari sendirian,” ujarnya.
Di sisinya, Kim Yoo-jung turut berkongsi pengalaman terlibat dalam penggambaran drama tersebut.
Ujar pelakon berusia 20 tahun itu, dia melakukan persiapan rapi dengan menjalani latihan di kedai serbaneka sebelum memulakan penggambaran.
“Satu pengalaman baharu apabila berlakon dalam drama ini. Saya sukakan watak Saet-byul yang ada bermacam perangai tetapi sangat baik hati.
“Meskipun kehidupannya tidak seindah yang dimahukan tetapi dia percaya pada diri dan belajar untuk jadi kuat. Naskhah ini menunjukkan bagaimana seorang gadis bangun daripada kesedihan dan menjadi matang dalam hidup,” ujarnya.
Selain jalan cerita menarik dan dipenuhi dengan babak lucu, satu hal lain yang membuatkan drama itu menjadi bualan peminat iaitu perbezaan umur antara Chang-wook dan Yoo-jung.
Berjarak usia sebanyak 12 tahun sebenarnya tidak menimbulkan halangan buat kedua-dua pelakon itu menjayakan peranan masing-masing.
“Pada mulanya saya agak malu apabila berdepan dengan Chang-wook. Lama-kelamaan kami banyak menghabiskan masa bersama dan berbincang macam-macam perkara.
“Secara tidak langsung kami jadi rapat dan penggambaran berjalan dengan seronok tanpa ada rasa canggung,” jelasnya yang mula berlakon seawal usia empat tahun.