PETALING JAYA – Semua pejabat pos dan pos laju akan beroperasi seperti biasa meskipun kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘total lockdown’ mulai esok.
Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dalam satu kenyataan di laman Facebook berkata, bagaimanapun tempoh masa operasi dihadkan dari pukul 8.30 pagi hingga 3 petang sahaja.
Katanya, bagi negeri Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu pejabat pos dan pos laju akan dibuka dari Ahad hingga Khamis, manakala Jumaat serta Sabtu ditutup.
“Bagi negeri lain, kaunter beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat dan ditutup pada Sabtu dan Ahad.
“Perkhidmatan penghantaran juga akan berjalan seperti biasa, namun dijangka akan mengalami sedikit kelewatan sepanjang tempoh ini disebabkan kekangan yang dihadapi serta penyesuaian operasi dan kapasiti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Pos Malaysia berkata, pelanggan disaran supaya menggunakan alamat kediaman bagi melancarkan proses penghantaran sepanjang tempoh ini.
“Untuk sebarang pertanyaan, hubungi kami di AskPos di www.pos.com.my atau seperti yang tersedia di skrin mudah alih Pos Malaysia,” jelasnya. – K! ONLINE