Oleh NUR NABILAH RAHMAT
KLUANG – Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam berjaya membongkar kegiatan satu sindiket melebur tembaga secara haram di Jalan PTD 1314 Kampung Ibrahim Majid, Simpang Renggam di sini semalam.
Dalam operasi Ops Benteng yang dijalankan pada pukul 4.30 pagi itu, seramai lapan warga asing diberkas terdiri daripada empat lelaki warganegara China, tiga lelaki tempatan dan seorang warga Bangladesh yang berusia antara 24 hingga 66 tahun.
Pegawai Memerintah Batalion 5 PGA Simpang Renggam, Superintendan Dimin Awang berkata, hasil siasatan awal mendapati sindiket terbabit sudah lebih setahun menjalankan aktiviti haram berkenaan.
“Dalam operasi Ops Benteng, sepasukan anggota telah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah premis yang memproses barang logam di dalam ladang kelapa sawit.
“Hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukan dokumen sah untuk menjalankan operasi melebur tembaga di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dimin berkata, pihaknya merampas enam guni berwarna putih berisi kepingan tembaga campuran, 24 palet berisi tembaga campuran, 41 guni berwarna putih berisi tembaga campuran dan 13 jongkong berisi tembaga anggaran setiap jongkong seberat 450 kilogram (kg).
Ujarnya, turut dirampas, 67 guni berwarna putih berisi arang batu serta pelbagai peralatan antaranya tiga mesin generator, enam mesin penyedut angin, mesin pengimpal dan alat penimbang.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM3.5 juta.
Menurut Dimin, kesemua suspek dan barangan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Kluang untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 6 Akta Barang Lusuh (ABL) 1946 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen,” katanya. – K! ONLINE