fbpx

Penduduk dalam PKPD Mukim Juasseh dibenar beli barang keperluan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Faizal (kiri) bersama Amran (dua dari kiri) dan Roslin Hisham (kanan) ketika mengadakan tinjauan pelaksanaan PKPD Mukim Juasseh yang bermula tengah malam tadi. - Foto MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.

KUALA PILAH – Penduduk dari tiga taman perumahan yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Daerah (PKPD) Mukim Juasseh, dekat sini sejak tengah malam tadi diberi kelonggaran untuk keluar dan mendapatkan barangan keperluan asas mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Daerah Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, kebenaran itu diberikan namun terhad kepada kedai runcit yang juga terletak di dalam kawasan PKPD tersebut.

“PKPD di sini berbeza seperti di kawasan lain, kami beri sedikit kelonggaran kepada penduduk di taman-taman yang terjejas untuk membeli makanan di kedai yang berhampiran termasuk kedai runcit dan kedai barangan basah dalam kawasan ini.

“Bagi penduduk yang positif Covid-19 dan memakai gelang merah jambu, mereka tidak dibenarkan keluar namun bantuan keperluan barangan makanan akan disediakan kepada mereka dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama pihak penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK),” katanya.

Mohd. Faizal yang juga Pegawai Daerah Kuala Pilah berkata demikian dalam sidang akhbar pelaksanaan PKPD Mukim Juasseh di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd. Ghani dan Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sembilan, Roslin Hisham Abd. Hamid.

Sementara itu, Mohd. Faizal menjelaskan seramai 2,125 orang penduduk akan terlibat dalam PKPD Mukim Juasseh.

“Di Taman Desa Permai terdapat 825 orang penduduk dan melibatkan 212 buah rumah manakala rumah yang terkesan mempunyai kes Covid-19 adalah sebanyak 25 buah rumah. Rumah Rakyat Juasseh pula terdapat 1,050 penduduk yang melibatkan 200 buah rumah manakala rumah yang dikesan terdapat jangkitan adalah 21 buah rumah.

“Di Taman Seri Juasseh, terdapat 250 penduduk yang melibatkan 50 buah rumah dan terdapat 25 buah rumah yang mempunyai kes positif Covid-19,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI