CHELSEA muncul sebagai Raja Eropah baharu. Menjulang trofi Liga Juara-juara buat kali kedua selepas kali pertama berbuat demikian pada tahun 2012. Mungkin satu kebetulan, hanya dua angka di belakang diterbalikkan daripada 2012 kepada 2021.
Skuad The Blues yang pada asalnya diletakkan sebagai pasukan bukan pilihan menjadikan langit di Eropah lebih kebiruan selepas menundukkan lawannya yang juga pasukan pilihan, Manchester City 1-0 pada aksi final Liga Juara-Juara di Estadio do Dragao awal pagi semalam.
Tiada dramatik atau kontroversi besar berlaku sepanjang perlawanan membabitkan dua kelab mewah dan kaya di hadapan 16,500 penyokong di Porto, Portugal tersebut. Hanya dilaporkan, berlaku pergaduhan antara kedua-dua penyokong pasukan di Porto sehari sebelum perlawanan akhir berkenaan.
Selain itu, mungkin insiden bola yang didakwa oleh pemain City terkena tangan pemain pertahanan Chelsea, Reece James untuk meraih ihsan sepakan penalti, namun pengadil perlawanan dari Sepanyol, Antonio Miguel Mateu Lahoz tidak berfikir sedemikian.
Kehebatan pengurus City, Pep Guardiola yang pernah menjulang Liga Juara-Juara bersama Barcelona masih gagal diterjemahkan di Etihad meskipun diletakkan sebagai pasukan pilihan pada awal musim lagi, apatah sudah menjulang gelaran juara EPL musim ini, namun gelaran Eropah bagaikan badi kepada City.
Apakah salah taktikal, formasi atau pemilihan kesebelasan pemain? Menggunakan formasi 4-3-3 tanpa pemain penyerang, sebaliknya meletakkan tiga serangkai Kevin De Bruyne, Raheem Sterling dan Riyad Mahrez mengemudi jentera serangan dilihat kurang menjadi apabila hanya merekodkan satu tendangan tepat ke arah gol.
Mungkin sudah terlewat, langkah Guardiola memasukkan penyerang, Gabriel Jesus pada minit ke-60 bagi menggantikan De Bruyne akibat kecederaan dan Sergio Aguero pada minit ke-77 (Sterling) belum mampu membantu The Citizens daripada terus menggigit jari.
Sementara itu, penulis harus mengakui kehebatan pengurus Thomas Tuchel dalam peranannya mengubah nasib Chelsea daripada pasukan terperosok di kedudukan kesembilan carta liga EPL ketika dikendalikan oleh Frank Lampard kepada Raja Eropah sejak mengambil alih skuad The Blues pada 26 Januari 2021.
Menggunakan formasi lazimnya iaitu 3-4-2-1, Chelsea sentiasa kelihatan berbahaya setiap kali melakukan serangan balas pantas menerusi Timo Werner sambil dibantu oleh Kai Havertz dan Mason Mount.
Akhirnya ia menjadi apabila Chelsea hanya melakukan tiga gerakan untuk menjaringkan gol bermula dengan hantaran penjaga gol, Edouard Mendy kepada Ben Chilwel terus ke Mount untuk menolak bola ke arah Havertz yang berjaya menewaskan penjaga gol City, Ederson untuk jaringan kemenangan.
Sepanjang perlawanan itu juga, paling mencuri tumpuan adalah N’Golo Kante yang beraksi sangat cemerlang sekali. Pada penulis, aksi Kante begitu hebat hinggakan menjadikan bola sepak itu sebagai permainan yang nampak mudah dan dia wajar dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.
Pada akhirnya, pelaburan Chelsea sebanyak £200 juta (RM1.117 bilion) pada musim ini berbaloi.