PORTO – Selepas sembilan tahun, Chelsea menjulang trofi Liga Juara-Juara kedua mereka selepas menewaskan Manchester City 1-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Dragao awal pagi semalam.
Gol tunggal perlawanan yang dijaringkan penyerang The Blues, Kai Havertz pada minit ke-42 memastikan City terus kempunan untuk memenangi trofi terulung bola sepak Eropah itu.
Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dengan kemenangan itu, lebih-lebih lagi selepas tewas kepada Bayern Munich di pentas sama tahun lalu ketika membimbing Paris Saint-Germain (PSG).
“Saya sangat gembira untuk menjejakkan kaki ke perlawanan akhir buat kali kedua. Bagaimanapun, saingan kali ini auranya cukup berbeza kerana saya dapat rasakan kami boleh memenanginya.
“Kemenangan ini akan jadi penanda aras untuk kami dan saya mahu semua pemain menjadi lebih matang serta jadikan pengalaman ini sebagai pembakar semangat bagi melakar lebih banyak kejayaan,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut memuji kekebalan benteng pertahanan yang diketuai Cesar Azpilicueta apabila melakukan banyak halangan dan pintasan penting bagi menafikan gerakan berbahaya The Citizens dalam usaha mereka mencari gol.
“Pasukan ini memiliki pemain yang ada kualiti dari segi pertahanan dan ia sangat penting untuk kami. Mereka berdepan tekanan tinggi daripada jentera serangan City, namun tetap tenang menahan asakan itu.
“City memulakan permainan dengan corak menyerang dan ia menyebabkan kami berada dalam keadaan sukar. Saya gembira kerana memiliki Azpilicueta dan Antonio (Rudiger) di bahagian belakang,” ujarnya. – AGENSI