BARCELONA – Penyerang Manchester City, Sergio Aguero mengakui tidak akan menandatangani kontrak bersama Barcelona sehinggalah dia pasti Lionel Messi akan terus kekal bersama kelab itu.
Laporan sebelum ini menyebut, Aguero akan menyertai Barcelona secara percuma selepas kontraknya dengan City berakhir musim ini dan dijadual menjalani ujian kesihatan minggu ini untuk mengesahkan perpindahan tersebut.
Bagaimanapun, Aguero mahu memastikan situasi Messi terlebih dahulu di Barcelona sebelum membuat sebarang keputusan kerana faktor utama dia memilih untuk ke Camp Nou adalah kerana hubungan rapatnya dengan kapten Argentina berkenaan.
Presiden Barcelona, Joan Laporte mengakui bahawa rundingan kontrak baharu bersama Messi berjalan lancar tetapi tiada sebarang keputusan dibuat ketika Manchester City dan Paris Saint-Germain berminat untuk mendapat pemain bintang itu.
Barcelona menamatkan kempen musim ini dengan agak mengecewakan apabila sekadar menjulang gelaran Piala Raja Sepanyol sekali gus menyaksikan jurulatih mereka, Ronald Koeman mungkin tersingkir dan Aguero pula bakal menjadi pencetus kebangkitan pasukan itu untuk musim depan.
Biarpun Barcelona yakin mereka mampu mendapatkan khidmat penggempur City itu dan memujuk Messi untuk kekal, namun Aguero dikatakan enggan terburu-buru dan mahu mengambil sikap tunggu dan lihat.
Selain Barcelona, beberapa pasukan lain di Liga Perdana Inggeris serta jaguh Itali, Juventus turut menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat Aguero. – AGENSI