EKORAN negara kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) agak sukar bagi penulis ‘mencuri’ masa untuk menonton filem di pawagam. Risau juga jika terkena jangkitan Covid-19 di dalam panggung wayang.
Namun, baru-baru ini ketika berada di rumah, penulis tergerak hati untuk melanggan sebuah filem terbaharu arahan pengarah kegemaran penulis iaitu Wan Hasliza Wan Zainuddin iaitu Keluarga Iskandar The Movie (KITM).
Sebagai peminat drama Keluarga Iskandar, sudah pasti filem ini antara yang dinanti-nantikan oleh penulis terutamanya selepas hampir beberapa tahun produksi ini menangguh tayangannya akibat kekangan bajet.
Jika diamati hasil kerja Wan Hasliza sebelum ini, setiap drama atau filem arahannya yang berkonsepkan kekeluargaan pasti dipadatkan dengan mesej-mesej yang dianggap ‘kena’ dengan realiti masyarakat di negara ini.
Perkara itu yang penulis dapat rasakan sepanjang menonton filem yang kekal berlatarbelakangkan negeri Johor ini kerana setiap dialog mahupun babak terasa seperti ‘dekat’ dengan jiwa.
Filem yang masih kekal mengangkat Johor sebagai lokasi utama itu juga mengetengahkan hampir 90 peratus pelakon asal seperti Kismah Johar, Azhar Sulaiman dan Hiera Hassan.
Kehebatan lakonan Kismah sebagai Mah Jah tidak perlu disangkal lagi, ditambah pula dengan dialog-dialog trademarknya seperti; “Allah SWT kan dah set from the top? dan syurga is under my feet”, memang tidak kering gusi dibuatnya.
Selain itu, watak anak-anak Mak Jah yang didukung oleh Zain Hamid, Sobri Anuar, Hilal Azman, Hiera dan Anita tidak pernah mengecewakan dengan lakonan bersahaja mereka.
Disokong dengan beberapa pelakon cilik seperti Khayrisyah Kemal, Wan Rania Humairah, Taqim Zaki dan Wan Adam Danish yang menggamatkan lagi suasana filem itu.
Jalan cerita KITM mudah difahami, kisah keluarga Mak Jah dalam perjalanan ke majlis perkahwinan Faris iaitu bekas teman lelaki Adibah, namun pelbagai kejadian berlaku sepanjang menuju ke destinasi tersebut.
Sepanjang menonton filem ini yang berdurasi satu jam lebih, tidak dinafikan, plot-plot kejutan yang terdapat di dalamnya boleh dianggap berjaya tambahan pula dengan lawak-lawak yang bersahaja oleh para pelakon.
Pelbagai elemen kejutan yang diselitkan termasuklah kemunculan beberapa penampilan khas seperti Aida Aris, Nabila Razali, Faiz Dickie dan Amy Mastura.
Setiap daripada mereka memberi impak kepada jalan cerita KITM meskipun hanya penampilan istimewa.
Plot cerita filem ini dilihat masih tidak lari terlalu jauh daripada jalan cerita versi dramanya sebelum ini kerana masih mengekalkan konsep cerita dan selingan monolog dua hala pelakonnya.
Bagaimanapun, jika dibandingkan KITM dengan filem bergenre sama terbitan syarikat produksi lain, naskhah ini masih banyak kelemahan yang boleh digarap dengan lebih baik termasuklah daripada aspek suntingan.
Daripada aspek suntingan pula, filem ini seharusnya tidak terlalu terikut versi drama. Penonton yang membayar untuk menonton pasti menjangkakan sesuatu lebih hebat, bukannya karya yang kualitinya setaraf drama.
Malah, ada beberapa peristiwa dalam filem ini seakan-akan tergantung tiada jawapan hingga membuatkan penulis tertanya apakah kesudahan kejadian itu.
Pengarah seharusnya lebih berani untuk mengubah stereotaip filem Melayu terutamanya bergenre komedi sebegini kerana sampai bila filem Malaysia terus berada di takuk lama.
Cuba jadikan contoh-contoh filem komedi keluarga dari Barat mahupun Korea sebagai rujukan dan buang pemikiran arus perdana agar karya Malaysia mampu ‘terbang’ jauh’.
KITM ditayangkan terus ke pawagam rumah, Astro First menerusi saluran 480 bermula 16 Julai 2020.
Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton karya berkenaan selama 48 jam (dua hari) secara berulang-ulang. Layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw untuk maklumat lanjut.