KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menetapkan bahawa semua kontak rapat yang tinggal serumah dengan pesakit Covid-19 di negeri ini perlu memakai gelang pink selama 14 hari.
Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, pemakaian gelang pink itu bermula dari tempoh tarikh akhir pendedahan kepada kes sah.
Katanya, perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan semalam dalam usaha melandaikan keluk Covid-19 di negeri negeri ini ekoran peningkatan kes yang mendadak sejak kebelakangan ini.
“Pemakaian gelang ini akan dilakukan segera tanpa menunggu pengambilan sampel Covid-19 selaras dengan Seksyen 15(A), Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pindaan 2021).
“Ia bertujuan untuk menyekat segera pergerakan individu setelah mereka dikenalpasti sebagai kontak rapat kes sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zaini, pemotongan gelang pink itu akan dilakukan pada hari ke-14 dari tempoh akhir pendedahan kepada kes sah.
Katanya, rakyat Kelantan dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan memantau status kesihatan diri.
“Sila dapatkan rawatan segera sekiranya bergejala dan terus berada di rumah jika tiada urusan penting di luar,” tambahnya. – K! ONLINE