fbpx

Hina Agong, nasib pemandu e-Hailing ditentukan 27 Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Nasib pemandu perkhidmatan e-hailing ditentukan pada 27 Ogos ini atas empat pertuduhan menghina dan membuat komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di laman sosial Twitter miliknya, Mac lalu.

Hakim M.M Edwin Paramjothy menetapkan tarikh itu, selepas tertuduh Sufazrin Amin Ismail, 26, selaku Orang Kena Saman (OKS), mengaku bersalah atas keempat-empat pertuduhan yang disabitkan ke atasnya di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Sufazrin didakwa secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menganiayai orang lain, melalui aplikasi Twitter menggunakan nama profil  “Fazrin Ismail” atau “@Fazr_Ismail”.

Keempat-empat hantaran dengan penyataan yang berbeza terhadap Yang di-Pertuan Agong itu dibuat antara pukul 1.56 tengah hari hingga 10.29 malam pada 23 Mac hingga 25 Mac lalu.

Kesemua pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pukul 7 malam pada 28 Mac lalu.

Berikutan itu bagi kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan dengan mengambil kira hantaran OKS itu berkaitan dengan Yang di-Pertuan Agong.

“Sebagai rakyat Malaysia tertuduh seharusnya taat setia kepada raja dan negara. Jadi saya mohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain untuk tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Bagaimanapun, Sufazrin yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia berasal dari keluarga yang susah dan ibunya hanya bekerja sebagai penoreh getah.

“Saya insaf dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana hantaran saya itu telah menimbulkan kemarahan ramai pihak,”katanya lagi. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI