KUANTAN – Tindakan pemimpin pro-Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Iswardy Morni yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disifatkan sangat biadab dan tidak boleh dimaafkan.
Sebagai tanda solidariti terhadap Al-Sultan Abdullah yang juga Sultan Pahang, sebanyak 11 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk wakil dari UMNO, PAS, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan (Gerakan) tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, hari ini.
Ketua Pemuda UMNO Kuantan, Md Jamil Pauzi berkata, laporan polis itu sebagai peringatan kepada mana-mana pihak supaya lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan yang boleh mengganggu ketenteraman awam sehingga mencetuskan pandangan serong terhadap kedaulatan institusi Raja Berpelembagaan di negara ini.
“Sikap ini sangat kurang ajar dan tidak mencerminkan sikap sebenar orang Melayu dan rakyat Malaysia yang sangat menghormati institusi Beraja. Tuduhan Iswardy mengatakan Yang di-Pertuan Agong tidak melakukan apa-apa bagi membendung penularan wabak Covid-19 juga berniat jahat dan sangat dikesali.
“Kita harap orang ini (Iswardy Morni) dikenakan tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang supaya menjadi pengajaran kepada orang lain yang mempunyai niat melakukan perkara serupa,”katanya di sini, hari ini.
Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak itu ditahan kira-kira pukul 11 malam tadi di sekitar Kajang, Selangor bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya menerusi video secara langsung dalam YouTube yang didakwa berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong.
Siasatan terhadap ahli PKR Cabang Petra Jaya, Sarawak itu dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Sekyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS negeri, Mujahidul Amin Roslan berkata, tindakan Iswardy itu dilihat sebagai satu bentuk provokasi terhadap sensitiviti orang Melayu dan tidak patut dibiarkan tanpa tindakan tegas oleh pihak berkuasa.
“Kami bersepakat untuk membuat laporan (polis) bersama hari ini, dengan kerjasama UMNO, Armada dan Gerakan sebagai tanda sokongan kepada Al-Sultan Abdullah yang juga Sultan Pahang.
“Sikap seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh dibiarkan kerana kita tidak mahu ia dijadikan sebagai ‘perkara biasa’ bagi sesetengah pihak yang tidak menghormati institusi Raja di negara ini,” katanya. – K! ONLINE