PETALING JAYA – Penyanyi Naim Daniel menyuarakan bantahan berhubung penggunaan tanda pagar #Roadto10k yang trending dalam Twitter sejak semalam.
Menerusi satu hantaran video dalam Instagramnya, penyanyi berusia 24 tahun itu mengakui, dia juga merupakan seorang pengguna Twitter dan kerap memuat naik ciapan sindiran pedas kepada sesetengah pihak, khususnya mengenai senario semasa Covid-19.
Bagaimanapun kali ini, pelantun lagu Sumpah itu benar-benar tidak bersetuju dengan tanda pagar sebegitu memandangkan peningkatan kes yang mendadak ketika ini sangat sensitif bagi ramai pihak.
“Saya faham, sebagai pengguna Twitter, saya pun kuat beri sindiran pedas kepada sesetengah pihak. Tapi kali ini, saya tidak setuju dengan tanda pagar trending #Roadto10k.
“Dalam angka yang kalian sebut, mungkin ada mak ayah, adik-beradik atau kawan-kawan kita. Kalau tak boleh jaga sensitiviti, jadilah seorang manusia. Tak perlu nak bangga atau meraikan walaupun dengan tujuan sarkastik,” ujarnya.
Tambah Naim, kata-kata adalah doa dan semua orang sudah cukup matang untuk menyedari perkara berkenaan.
“Dalam angka tersebut, mungkin ada orang-orang yang tak senasib dengan kita. Nyawanya direntap tanpa amaran oleh Covid-19.
“Selagi tak kena, kita takkan faham. Telefon kita sudah jadi satu bentuk kuasa. Kuasa untuk kita lakukan perkara baik ataupun sebaliknya. Jadi, gunakan sebaiknya,” katanya lagi.
Perkongsian Naim menerima respons positif daripada pengguna Instagram yang semuanya bersetuju dengan teguran penyanyi itu.
Semalam, penularan Covid-19 di negara ini mengalami peningkatan apabila mencatat sebanyak 9,020 kes dengan 98 kematian, paling tinggi direkodkan setakat ini. – K! ONLINE