KUANTAN – Kerana ingin mendapatkan hadiah yang kononnya dihantar oleh rakan baru dikenali di Instagram, seorang gadis berusia 19 tahun terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM39,600 selepas ditipu ‘kenalannya’ itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, berdasarkan laporan mangsa baru tiga hari mengenali suspek yang kononnya berasal dari Sabah tetapi menetap di luar negara.
“Sepanjang perkenalan, mangsa berhubung melalui aplikasi WhatsApp dengan suspek yang menggunakan nombar telefon dari luar negara dan pada 18 Mei lalu, suspek menyatakan mahu menghantar hadiah kepada mangsa.
“Mangsa kemudiannya menerima satu mesej dari aplikasi WhatsApp kononnya dari syarikat kiriman antarabangsa yang memaklumkan bahawa barangan dihantar disekat oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia dan mangsa perlu membuat bayaran ke akaun yang diberikan,”katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Wazir mangsa telah membuat bayaran berjumlah RM39,600 ke 13 akaun bank dimiliki inidividu berlainan sebelum menyedari ditipu selepas masih tidak menerima hadiah berkenaan.
Ujarnya, mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE