fbpx

Kedah harap lebih 80 peratus penduduk terima vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) menemui penerima vaksin ketika melawat PPV di Stadium Sultan Abdul Halim, hari ini. - FOTO: SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah berharap lebih 80 peratus penduduk negeri itu menerima suntikan vaksin Covid-19 seterusnya mencapai imuniti kelompok sebelum hujung tahun ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, program vaksinasi penting dalam memastikan seluruh rakyat bersedia untuk berdepan dengan pandemik Covid-19 yang semakin serius.

“Diharapkan sebelum hujung tahun ini lebih 80 peratus rakyat negeri ini akan menerima vaksin dan kita akan dapat berhadapan dengan pandemik ini dengan persiapan yang cukup,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Sultan Abdul Halim di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya bagaimanapun memerlukan kerjasama daripada orang ramai dengan hadir pada janji temu suntikan vaksin yang telah ditetapkan menerusi aplikasi MySejahtera.

“Kita dimaklumkan terdapat lebih 10,000 penduduk di negeri ini yang tidak hadir janji temu suntikan vaksin dan mereka yang tidak hadir itu, sudah ada pengganti.

“Saya harap tidak berlaku lagi perkara seperti itu kerana mereka yang tidak hadir tidak bertanggungjawab. Tidak bertanggungjawab kepada diri sendiri, bukan kepada orang lain,” ujarnya.

Muhammad Sanusi pada masa sama menasihatkan orang ramai terutama warga emas supaya tidak terpengaruh dengan maklumat palsu berkaitan vaksin.

“Bab vaksin ini pula, tidak perlulah nak pilih-pilih vaksin tertentu hanya kerana baca maklumat di Facebook dan WhatsApp.

“Bagi individu yang menyebarkan maklumat palsu untuk menimbulkan kacau bilau, saya harap mereka sedar dan insaflah,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI