PETALING JAYA – Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni ditahan bagi membantu siasatan berhubung video berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong di laman YouTube.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
“Lelaki itu ditahan di kediamannya di Kajang pada pukul 11 malam tadi bagi membantu siasatan.
“Kita akan mendapatkan perintah reman hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Terdahulu, satu video secara ‘live’ berkenaan Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun ini yang menghina Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tular dalam media sosial.- K! ONLINE