fbpx

Pelajar beli iPhone RM300, rugi RM15,300

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SEBERANG PERAI – Hasrat seorang pelajar tingkatan lima di Kepala Batas di sini mahu membeli iPhone murah tidak kesampaian, bahkan terpaksa mengigit jari apabila kerugian wang sebanyak RM15,300 selepas dipercayai diperdaya sindiket baru-baru ini.

Mangsa lelaki berusia 17 tahun itu dikatakan terjerat dalam penipuan itu selepas tertarik dengan satu iklan di aplikasi media sosial Instagram.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa telah melihat iklan berkenaan kononnya menjual peranti murah berkenaan dari Singapura.

“Pelajar itu berminat untuk membeli sebuah model iPhone X baharu pada harga RM300 seperti yang ditawarkan.

“Dia diminta untuk membuat pembayaran ke dalam akaun bank yang diberikan dan dijanjikan akan menerima iPhone tersebut dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, Noorzainy berkata, mangsa kemudiannya telah dihubungi oleh dua individu yang mendakwa dari pihak jaminan produk Apple dan kastam Singapura yang meminta bayaran daripada mangsa.

“Individu itu berjanji bahawa wang mangsa akan dipulangkan semasa dia menerima kiriman iPhone tersebut sebelum mangsa membuat pembayaran ke dalam tiga akaun bank.

“Mangsa telah membuat bayaran secara berperingkat berjumlah RM15,000 kerana percaya akan memperoleh semula wang itu,” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa bagaimanapun hanya menyedari dirinya ditipu selepas diminta untuk mencukupkan bayaran berjumlah RM30,000 sebelum telefon pintar tersebut dikirimkan.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI