PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut Pesta Kaamatan kepada semua yang menyambutnya di negeri Sabah.
Istana Negara dalam satu kenyataan di dalam Facebook rasmi berkata, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar perayaan Pesta Kaamatan akan terus menyemarakkan keharmonian antara kaum di Malaysia dan memperkukuhkan perpaduan sesama kita.
“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan semoga hari yang bermakna kepada masyarakat Kadazandusun ini disambut dengan kebiasaan baharu dan dengan mengutamakan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat.
“Bersabarlah menghadapi cabaran ini dan marilah bersama memainkan peranan membantu memerangi wabak Covid-19 dengan bersama berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan,” titahnya. – K! ONLINE