fbpx

Ruhainies elak gosip liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUHAINIES

ENAM tahun bergelumang dalam dunia lakonan cukup untuk pelakon kecil molek, Ruhainies meraih kepercayaan rumah produksi tanah air bagi menjayakan pelbagai naskhah untuk tatapan khalayak. Cukup sinonim menerusi watak anak orang kaya dan sofistikated bagaimanapun membuatkan graf lakonan Ruhainies seperti mendatar.

Bukan terlalu selesa dengan watak sama, tetapi peluang dan ruang untuk bakat terpendamnya dipersembahkan kepada umum belum mendapat kesempatan.

Terbaharu, anak jati kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang itu tampil jauh berbeza, sekali gus mencabar diri menerusi karakter berat yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Baru memasuki episod pertama awal Mei lalu, naskhah Cukup Derita Itu (CDI) arahan Along Kamaludin melonjakkan namanya ke mata umum. Penderaan emosi dan fizikal gadis kampung yang dijayakannya disifatkan satu dimensi baharu buat Ruhainies.

WANITA berumur 29 tahun ini mahu memberikan sepenuh fokus trehadap kerjaya lakonan, sekali gus mengukir nama sebagai anak seni berjaya.
– IHSAN MASTER MUS (@MASTERMUS86)

“Ya, memang saya akui sebelum ini selalu dapat watak sama sahaja. Balik-balik orang kaya, bergaya, cantik dan sofistikated.

“Jadi, apabila dapat watak seperti seorang gadis kampung seperti Ellani, tidak berduit dan hidup susah, itu satu cabaran baharu dan berat buat saya.

“Malah, saya tidak perlu bersolek tebal. Selalunya, watak saya bersifat lembut, tetapi kali ini saya berperwatakan sedikit kasar, tetapi bukanlah tomboy,” katanya membuka bicara bersama Pose.

Menerusi drama adaptasi daripada novel nukilan penulis terkenal, Siti Rosmizah tersebut, dia digandingkan bersama hero, Hisyam Hamid.

Mengenai respons dan reaksi penonton, anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, rata-rata penonton memuji kerjanya yang tidak pernah terlihat sebelum ini.

“Sebelum ini ada sahaja cakap-cakap yang kata saya mesti tak akan berani bawa watak sebagai gadis desa.

“Jadi inilah masanya untuk saya buktikan kemampuan dan bakat tersembunyi yang belum pernah dipamerkan.

“Alhamdulillah maklum balas yang diterima penonton pun sangat positif. Apabila mereka gembira, secara tidak langsung membuatkan saya lebih semangat untuk memberikan yang terbaik,” ujarnya.

Dalam drama yang menghiasi slot Samarinda TV3 tersebut, Ruhainies turut bergandingan dengan pelakon hebat lain, termasuklah Jasmin Hamid, Didie Alias dan Rosnah Johari.

SELAIN berlakon dan menjadi duta produk, Ruhainies mula merancang untuk berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dan mengeluarkan jenamanya sendiri kelak.

Sambung penggambaran

Meneruskan perbualan, pemilik nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas memberitahu, dia masih lagi berada di lokasi untuk menghabiskan baki penggambaran CDI.

Katanya, CDI mempertaruhkan 40 episod secara keseluruhan dan ada beberapa babak yang perlu diselesaikan.

“Insya-Allah jika tiada aral melintang, semua akan selesai pada pertengahan Jun nanti.

“Kalau ikutkan perancangan asal semua sudah selesai tetapi tertangguh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya.

Sambung Ruhainies, usai tamat penggambaran CDI, dia terus akan memasuki set penggambaran untuk naskhah terbaharu 28 episod yang akan disiarkan dalam slot Akasia TV3 nanti. Bagaimanapun semua rencana tersebut masih tergantung ekoran perintah PKP penuh yang diumumkan kerajaan, Jumaat lalu.

RUHAINIES menyifatkan tawaran untuk membawakan watak Ellani menerusi drama CDI sebagai satu tuah buatnya sepanjang bergelar pelakon.

Tiada masa

Ditebak mengenai jodoh dan kisah hati, Ruhainies awal-awal lagi sudah tergelak kecil. Dia tahu, itu soalan wajib yang pasti diungkitkan.

Setakat ini, dia fokus terhadap kerjaya lakonan berbanding soal hati. Baginya, jodoh bakal hadir dengan sendiri.

“Tengok sahaja jadual padat saya sekarang ini. Belum habis penggambaran, dah nak kena masuk set lain untuk naskhah seterusnya.

“Jadi manalah masa yang saya ada untuk itu semua (bercinta). Pada saya, ini waktu untuk saya bersinar dan berkarya mencipta nama terlebih dahulu. Soal kahwin, insya-Allah akan hadir nanti,” katanya yang turut meminta doa semua.

Jelasnya, tiada insan bergelar wanita yang tidak mahu bernikah dan mempunyai kehidupan sebagai isteri dan ibu, namun semuanya terletak pada jodoh, sama ada cepat atau lambat.

Sebelum menutup bicara, Ruhainies yang bersih dengan segala kontroversi dan gosip liar sepanjang bergelar anak seni mengakui perkara tersebut dan selesa sebegitu.

“Tak perlu kontroversi. Cukuplah kita berdiri dengan bakat. Selebihnya pandailah khalayak nilai.

“Saya selesa hidup begini dan memilih untuk terus dengan cara ini. Apa pun bergantung kepada niat asal kita melakukan sesuatu perkara,” tuturnya menutup butir kata.

PELAKON yang mula dikenali menerusi drama Hello Mr. Perfect ini meletakkan soal jodoh kepada Yang Maha Esa dan tidak menolak apabila sudah sampai seru dan masanya nanti.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI