fbpx

Penyamun emas dicekup pemilik premis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video menunjukkan suspek yang berjaya diberkas selepas cuba melarikan seutas jam tangan dan dua rantai emas di Jalan Kebun, semalam.

SHAH ALAM – Seorang penyamun terpaksa berputih mata apabila dicekup pemilik premis itu sendiri dengan bantuan orang ramai ketika cuba melarikan seutas jam tangan bersama dua rantai emas dalam kejadian di Jalan Kebun, semalam.

Penangkapan suspek lelaki yang juga penganggur berusia 20 tahun itu dilakukan pukul 4 petang.

Insiden tersebut tular di Twitter menerusi dua video yang masing-masing berdurasi 17 dan 29 saat.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, suspek terdahulu berpura-pura memasuki kedai tersebut sebagai pelanggan sebelum bertindak melarikan seutas jam tangan emas dan dua utas rantai emas yang bernilai keseluruhan Rm22,996.

Katanya, perbuatan suspek itu bagaimanapun disedari pemilik premis tersebut.

“Suspek yang cuba melarikan diri dengan sebuah motosikal berjaya ditahan pemilik premis dengan berlaku sedikit pergelutan sebelum dibantu orang ramai yang berada di kawasan tersebut.

“Semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 1 Jun depan.

Kata Baharudin, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dalam kadar segera,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI