KOTA BHARU – Seorang pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda membawa semi treler kandang haiwan beroda di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam itu, mangsa, Mohammad Irfan Mustaffa, 23, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian paha dan kaki kanan akibat tersepit pada bahagian tempat duduk pemandu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger sedang dalam perjalanan dari arah Jabatan Penjara menghala ke sebuah stesen minyak di Cabang Tiga, Pengkalan Chepa.
Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, terdapat sebuah kereta telah memotong kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu mangsa dari arah bertentangan.
“Pemandu kenderaan pacuan empat roda itu yang melihat situasi terkejut dan telah mengelak ke bahu jalan, namun semi treler kandang haiwan beroda di belakangnya telah meluncur ke arah laluan sebelah.
“Insiden itu menyebabkan kereta yang dipandu mangsa tidak sempat mengelak sebelum bertembung dengan kandang haiwan beroda itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Abdul Rahim berkata, akibat pertembungan itu, mangsa didapati tersepit di tempat duduk pemandu dan tidak sedarkan diri.
Katanya, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda yang membawa semi treler kandang haiwan beroda itu tidak berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).