HULU TERENGGANU – Aktiviti rentas negeri untuk pulang beraya punca daerah ini yang dahulu pernah menjadi satu-satunya lokaliti mencatatkan sifar kes positif Covid-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 kini bertukar kepada zon merah.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, sebanyak 124 kes aktif Covid-19 direkodkan di daerah tersebut dan semuanya disebabkan oleh lima kluster raya.
“Kluster raya ekoran pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini dengan balik kampung dan ziarah mula menunjukkan kesannya di daerah Hulu Terengganu.
“Daerah yang dahulunya berstatus hijau sekian lama sekelip mata menjadi merah. Bukan mukim Kuala Berang sahaja (dilaksana PKPD) tetapi mukim Hulu Telemong dan Tanggol turut sudah dilanda badai Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nor Azimi berkata, salah satu kluster raya yang direkodkan di daerah ini ialah Kluster LH berpunca daripada individu yang balik beraya di daerah ini dari Johor sebelum menjangkiti 24 orang dan merebak pula ke Pasar Besar Kuala Berang.
Tambah beliau, satu lagi kluster pula mencatatkan enam orang positif Covid-19 manakala ratusan menjadi kontak rapat disebabkan seorang individu yang pulang ke Bentong, Pahang sebelum beraya dengan jiran-jiran taman perumahannya di sini.
“Satu lagi kluster terbaharu di mukim Hulu Terengganu disebabkan seorang individu yang pulang beraya dari Melaka biar pun bergejala. Sudahnya wabak mereka ke sebuah pejabat dan setakat ini 10 kakitangan pejabat itu sudah disahkan positif.
“Ada kluster disebabkan individu pulang ke kampung dari Johor untuk melangsungkan perkahwinan tetapi masih melakukan ziarah raya dengan keluarga terdekat menyebabkan lima dikesan positif,” katanya. – K! ONLINE