KLANG – Seorang pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan mengeksploitasi isteri dan anaknya bagi tujuan seks antara 2015 hingga 2020.
Tertuduh berusia 43 tahun yang tidak diwakili peguam itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Datuk Zamzaini Mohd. Zain.
Berdasarkan kedua-dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, lelaki itu didakwa mengeksploitasi seks dengan menggunakan paksaan terhadap isteri dan seorang kanak-kanak berusia 13 tahun.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan ekploitasi seks terhadap isterinya berusia
36 tahun di sebuah kondiminium dan loji air di Batu 9, Cheras di antara Januari 2015 hingga Mei 2019.
Sementara, kanak-kanak itu diekploitasi oleh tertuduh di kondominium yang sama di Batu 9 Cheras di antara Januari 2019 hingga Februari 2020.
Justeru, dia didakwa masing-masing mengikut Seksyen 13(b) & 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kes itu menarik perhatian orang awam dan merupakan kesalahan serius.
Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan tarikh jatuh hukum pada 19 Ogos depan.
Akhbar tempatan sebelum ini melaporkan seorang lelaki tergamak merogol anak kandungnya sebelum melacurkan remaja itu dan juga isterinya kepada warga asing.
Suspek dan lima warga asing kemudiannya ditahan di sekitar negeri ini pada 13 Julai lalu. -K!ONLINE