SHAH ALAM – Polis Selangor menafikan gambar dan video klip tular memaparkan senjata yang didakwa dirampas dari gudang penyimpanan senjata haram dilakukan pihaknya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed turut menegaskan bahawa ia tiada kaitan dengan pengganas komunis dan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) seperti ditularkan.
Katanya, hasil penelitian mendapati video klip yang ditularkan tersebut adalah semasa sidang akhbar yang dibuat oleh Polis Kontinjen Selangor pada 30 Julai tahun lalu.
“Sidang akhbar itu berhubung kejayaan tangkapan terhadap penjual dan pembeli senjata ‘airsoft’ jenis rifle dan pistol yang telah diubah suai.
“Sementara, gambar rampasan senjata pula adalah gambar-gambar rampasan senjata di Kontinjen Kedah pada tahun 2014.
“Perbuatan mengaitkan video klip sidang akhbar Polis Kontinjen Selangor dengan gambar rampasan senjata di Kontinjen Kedah dan mendakwa rampasan tersebut mempunyai kaitan dengan pengganas komunis dan LTTE adalah perbuatan tidak berasas serta boleh mengakibatkan ketakutan dan menyebabkan ketenteraman awam tergugat,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi Polis Selangor hari ini.
Justeru, Arjunaidi menegaskan Polis Kontinjen Selangor telah membuat laporan polis berkaitan isu tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat kesimpulan sendiri berkaitan isu yang ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang perkongsian atau menyebarkan sesuatu berita dari sumber yang tidak tepat,” tegasnya. – K!ONLINE