PORTO – Pemain tengah berpengaruh Chelsea, N’Golo Kante mengaku lega apabila sudah cergas sepenuhnya daripada kecederaan untuk membantu pasukan mengharungi aksi final Liga Juara-Juara menentang Manchester City di Stadium Dragao awal pagi esok.
Sebagai rekod, skuad kendalian Thomas Tuchel itu sebelum ini resah selepas menyaksikan Kante mengalami kecederaan ketika aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Leicester City minggu lalu.
Selepas disahkan sudah pulih sepenuhnya, pemain antarabangsa Perancis itu berazam untuk membantu pasukan menjuarai trofi Liga Juara-Juara sekali gus melengkapkan senarai trofi yang dimenangi sepanjang kariernya.
Namun, Kante mengakui bukan tugas mudah untuk pasukan terutama apabila menentang pasukan seperti City yang memiliki kualiti pemain berkelas dunia termasuk bintang sayap The Citizens yang juga sahabatnya di luar padang, Riyad Mahrez.
“Perjalanan karier saya dengan Mahrez tidak semudah yang disangka kerana karier kami berdua bermula lewat dengan beraksi di liga divisyen 2 Perancis terlebih dahulu sebelum menjadi rakan sepasukan di Leicester City.
“Kini, kami berdua di kelab yang berbeza tetapi mempunyai satu misi yang sama iaitu menjuarai trofi Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam karier. Mungkin di luar stadium kami akrab, namun di atas padang kami adalah musuh dan saya tidak akan beri laluan mudah buatnya,” katanya.
Kante sebelum ini telah menjulang trofi EPL bersama Leicester sebelum berhijrah ke Chelsea untuk memenangi satu lagi trofi EPL, trofi Piala FA dan Liga Europa.
Di peringkat antarabangsa pula, pemain berusia 30 tahun itu telah membantu Perancis menjulang trofi Piala Dunia edisi 2018. – AGENSI