TUSCANY, Itali – Juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi mendedahkan bahawa dia akan memutuskan masa depannya dalam perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) selepas mengharungi empat perlumbaan akan datang.
Tegas juara Itali itu, fokusnya akan bermula di Grand Prix (GP) Itali di Litar Mugello sebelum membuat keputusan mengenai kariernya sebelum cuti musim panas pada akhir Jun nanti.
Ini bermakna, pelumba berusia 42 tahun tersebut akan mengharungi perlumbaan di Itali, Catalunya (Sepanyol), Sachsenring (Jerman) dan Assen (Belanda) sebelum memikirkan sama ada mahu meninggalkan sut perlumbaan bersama pasukan Petronas Yamaha SRT ataupun tidak.
Selepas lima pusingan perlumbaan musim ini, Rossi berdepan masalah dengan prestasinya apabila gagal untuk berada di kedudukan ke-10 terbaik apabila hanya menduduki tempat ke-19 keseluruhan.
“Semua orang akan mula membincangkan perancangan mereka pada musim 2022 dalam tempoh terdekat. Saya juga akan melakukan perkara yang sama.
“Tetapi, keputusan ini bukan hanya ditentukan oleh saya sahaja tetapi perlu melakukan perbincangan dengan Petronas dan juga Yamaha untuk memahami apa rancangan mereka.
“Apa yang saya boleh katakan ketika ini adalah empat perlumbaan akan datang sangat penting untuk kami dan cuba mendapatkan hasil yang baik,” kata Rossi.
Rossi merupakan pelumba paling lama beraksi dalam kancah perlumbaan tersebut dan telah menghabiskan lebih dari 20 tahun untuk meraih 89 kemenangan dalam kategori teratas. Rossi juga merupakan satu-satunya pelumba yang beraksi 400 grand prix. – AGENSI