JOHOR BAHRU – Seorang bekas timbalan pengurus besar sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan denda RM766,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah 10 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM153,200 antara 2016 hingga 2017.
Tertuduh, Noor Hisyam Mohd. Abdullah Hashim, 46, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan secara serentak di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.
Mengikut kesemua kertas pertuduhan, Noor Hisyam didakwa menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan keseluruhannya berjumlah RM153,200 daripada seorang pengarah sebuah syarikat landskap sebagai balasan memperakukan tuntutan kerja syarikat berkenaan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat jabatan landskap syarikat GLC, Iskandar Puteri antara 10 Februari 2016 hingga 15 Februari 2017.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Suhaili Sapun.
Manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhamad Aizat Fakri dan Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.
Hakim Kamarudin menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama dua tahun lapan bulan berasingan sekiranya gagal membayar denda tersebut.-K! ONLINE.