ALOR SETAR – Penyebaran maklumat kononnya puluhan peniaga di Pasar Besar Alor Setar di sini dijangkiti Covid-19 terbukti palsu apabila seramai 418 peniaga dan pekerja di situ disahkan negatif virus tersebut.
Maklumat palsu yang viral di Facebook baru-baru ini menyebabkan jualan di pasar berkenaan merosot
Pengerusi Pasar Besar Alor Setar, Mohd. Fauzi Sharip berkata, kesemua peniaga dan pekerja terlibat telah menjalankan saringan secara berperingkat bermula 22 Mei lalu dan disahkan bebas Covid-19.
“Kesemua peniaga dan pekerja di sini juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang ditetapkan.
“Malah, pihak berkuasa juga memantau operasi pasar ini pada setiap hari,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, keputusan negatif tersebut membuktikan bahawa dakwaan yang viral di Facebook baru-baru ini adalah tidak benar.
“Bagaimanapun kita akan memastikan setiap SOP dipatuhi bagi membendung penularan Covid-19 di kawasan ini,” ujarnya. – K! ONLINE