fbpx

Bayi enam bulan maut di taska

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Seorang bayi lelaki berusia enam bulan dilaporkan maut semasa berada di bawah jagaan pengasuhnya di sebuah taska di Bukit Gedung, Bayan Baru di sini semalam.

Kejadian tersebut disedari seorang pekerja pusat jagaan berkenaan yang berusia 20 tahun selepas kira-kira setengah jam meninggalkan bayi tersebut.

Penjaga itu dikatakan pergi ke tandas selepas menidurkan mangsa kira-kira pukul 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Bayan Baru pada pukul 10.43 pagi semalam.

Menurutnya, pengadu mengatakan yang bayi tersebut dibawa oleh pengusaha taska berusia 65 tahun ke klinik berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan pucat.

“Kematian bayi telah disahkan oleh doktor selepas melakukan bantuan pernafasan.

“Temu bual dengan pekerja pusat jagaan tersebut mengatakan yang dia menerima si mati semasa dihantar oleh ibu bapanya pada pukul 6.30 pagi semalam.

“Wanita itu juga mengesahkan bayi tersebut berada dalam keadaan baik dan cuma menangis seperti hari-hari biasa sebelum ini. Kejadian disedarinya selepas dia meninggalkan sementara bayi itu ketika sedang tidur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bayi lelaki tersebut dihantar ke pusat jagaan terbabit sejak tiga bulan lalu.

Beliau memberitahu, pekerja terbabit juga sebelum itu cuba melakukan bantuan pernafasan terhadap bayi tersebut namun masih tidak sedarkan diri.

“Hasil keputusan bedah siasat yang dijalankan ke atas si mati pagi tadi mendapati kematiannya disebabkan terjatuh dan tiada sebarang unsur-unsur jenayah yang berlaku.

“Tiada sebarang tangkapan dilakukan dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” tambahnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI