KEMAMAN – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor ditahan reman selama enam hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan kes rasuah pada dua tahun lalu.
Perintah reman itu dibenarkan Penolong Pendaftar, Masni Hajar Ghazali di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, suspek yang berusia 30 tahun disyaki telah meminta dan menerima rasuah berjumlah RM30,000 pada tahun 2018.
“Dia yang berkhidmat di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun disyaki melakukan perbuatan tersebut sebagai dorongan meringan kesalahan seorang individu yang ditahan polis.
“Individu tersebut telah diberkas polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sumber SPRM berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – K! ONLINE