PETALING JAYA – Kes kematian sebelum tiba ke hospital (BID) melibatkan pesakit Covid-19 dikesan semakin meningkat di seluruh negara.
Menerusi perkongsian di laman Twitter, Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, BID menunjukkan tiga senario yang mungkin berlaku di persekitaran penduduk Malaysia.
“Senario pertama, pesakit bergejala seperti demam dan batuk, pergi klinik untuk mendapatkan ubat tetapi tidak melakukan ujian saringan Covid-19, beberapa hari kemudian ditemui meninggal dunia di rumah.
“Senario kedua, pesakit disahkan positif Covid-19, klinik swasta melaporkan kepada KKM namun ditemui meninggal dunia di rumah sebelum dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau hospital,” katanya menerusi satu ciapan hari ini.
Tambah KKM, senario terakhir pula, hilang deria rasa dan sangat letih tetapi tidak mengambil serius dengan gejala-gejala tersebut dan hanya berehat di rumah sebelum ditemui mati selang beberapa hari kemudian.
“Orang ramai disarankan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta lakukan ujian saringan untuk mendapatkan kepastian berhubung status kesihatan mereka.
“Duduk di rumah, keluar hanya perlu bagi urusan kerja dan membeli barang keperluan, patuhi SOP sepenuhnya. Jika bergejala buat ujian saringan Covid-19 untuk mendapatkan rawatan awal,” tambahnya. – K! ONLINE