fbpx

Kelantan larang kuliah ulas isu jangkitan, vaksinasi Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) melarang segala penyampaian pengajaran kuliah yang bertentangan dengan dasar kerajaan berkaitan penularan wabak dan program imunisasi atau vaksinasi Covid-19.

Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya mendapati segelintir pendakwah termasuk pemegang tauliah mengajar Maik telah membuat kenyataan dengan mengulas tentang penularan wabak Covid-19 dan program vaksinasi sekali gus bertentangan dengan dasar kerajaan.

Katanya, perkara itu telah memberi kesan negatif terhadap langkah kerajaan untuk membendung wabak Covid-19 daripada terus merebak di dalam masyarakat negeri ini.

“Sehubungan dengan itu, sekiranya ada pegawai masjid bandar, jajahan, mukim, pemegang tauliah mengajar Maik dan pendakwah didapati melakukan perkara tersebut, kita tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan yang tegas.

“Perkara itu sudah diperkenankan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan, dalam situasi darurat ketika ini, semua pihak perlu menghentikan semua perbezaan dan pendapat dalam perkara itu.

Katanya, Maik berharap kerjasama daripada semua pihak terutamanya pegawai masjid bandar, jajahan, mukim, pemegang tauliah mengajar Maik dan pendakwah agar menyampaikan pengajaran yang selari dengan dasar kerajaan berkaitan penularan wabak Covid-19 dan program imunisasi serta vaksinasi.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI