SEBERANG PERAI – Seorang bapa durjana tergamak menjadikan anak perempuannya sebagai tempat pemuas nafsu apabila memaksa melakukan hubungan intim hampir setiap hari sejak kira-kira 12 tahun lalu di sebuah rumah di Taman Seri Delima, Bukit Mertajam sini.
Kejadian tersebut terbongkar apabila gadis yang kini berusia 18 tahun itu tampil membuat laporan polis selepas bapanya berusia 45 tahun cuba mencabul mangsa pada Selasa lalu.
Kejadian itu berlaku di sebuah apartmen yang didiami mereka kira-kira pukul 6.30 pagi ketika ibu mangsa pergi ke bilik air.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, selain kejadian terbaharu itu, siasatan mendapati kali terakhir mangsa dipaksa melakukan hubungan intim oleh suspek adalah pada awal tahun lalu.
Beliau berkata, mangsa mendakwa telah dicabul dan dipaksa melakukan hubungan intim oleh juruteknik kilang itu sejak mangsa berusia enam tahun dan berlaku hampir setiap hari.
“Mangsa berasa tertekan dengan kejadian tersebut, namun tidak melaporkan kepada polis kerana tidak mahu ibu bapanya bercerai.
“Siasatan turut mendapati, mangsa akan tidur setiap hari bersama ibu bapanya di ruang tamu rumah selain mendakwa pernah diliwat ketika berusia 15 tahun,” katanya.
Menurut Shafee, pihaknya ketika ini sedang giat memburu suspek yang menghilangkan diri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan. – K! ONLINE