PETALING JAYA – Lembaga Getah Malaysia (LGM) mengesahkan belum ada sebarang urusan penjualan, pajakan atau urus niaga berkaitan dua lot tanah milik LGM iaitu Lot 20012 dan Lot 20013 di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
LGM dalam kenyataan berkata, semua penjualan atau pajakan tanah miliknya perlu mendapat perakuan lembaga itu terlebih dahulu sebelum dimajukan kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali untuk kelulusan.
“LGM telah menerima permohonan daripada beberapa syarikat bagi membeli Lot 20012 dan pertimbangan akan dibuat selaras dengan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan serta pandangan Jabatan Warisan Negara.
“Bagi Lot 20013, tawaran pajakan telah dibuat secara tender terbuka dan telus oleh LGM Properties Corporation (LGMPC) iaitu perbadanan milik LGM pada Oktober 2020,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, terdapat beberapa syarikat yang menghantar permohonan melalui tender tersebut.
“Berdasarkan kriteria, proses dan prosedur yang ketat oleh LGMPC serta LGM, Al-Noor Foundation telah terpilih selepas membida dengan bidaan tertinggi.
“Sementara bagi pajakan Lot 20013 dan penjualan Lot 20012 masih belum diputuskan Lembaga Pengarah LGM sekali gus belum diangkat untuk pertimbangan dan persetujuan Mohd. Khairuddin,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan berhubung tanah berkenaan dipajak dan dibeli dengan harga rendah. – K! ONLINE